Hidup merempat, Arwah Yus Jambu cerita kisah sedih selepas kehilangan orang tua
SEBAIK saja dinobatkan sebagai juara Raja Lawak Astro musim pertama tiga tahun lalu, nama Yussry Edoo atau lebih mesra dengan pangg...
http://harianmetronline.blogspot.com/2015/11/hidup-merempat-arwah-yus-jambu-cerita.html
Kecewa dengan tawaran yang tidak kunjung tiba, Yus dilaporkan membawa dirinya pulang ke kampung, dia dikhabarkan merajuk dengan industri hiburan yang seolah-olah meminggirkan dirinya, beliau umpama anak tiri di gelanggang Raja Lawak! Hampir dua tahun Yus menyepikan dirinya sehingga ada dakwaan yang mengatakan Yus sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni!
Tidak cukup dengan itu, Yus juga dilaporkan sudah menjual kereta mewah, TD2000 yang dimenanginya sebagai juara Raja Lawak dulu semata-mata untuk meneruskan kehidupannya. Justeru, Yus dianggap tidak menghargai hadiah yang diperoleh hasil daripada undian peminatnya, sekali gus mengundang pelbagai perspektif negatif di mata orang ramai. Selain berdepan kesempitan hidup gara-gara tidak banyak peluang berlakon, Yus juga dikatakan dipinggirkan saudara kandungnya sendiri. Justeru, sejauh mana kesahihan khabar angin itu? Kesempatan bertemu Yus di Bachok, Kelantan, baru-baru ini, cuba merungkai segala persoalan terhadapnya ketika Yus diberi peluang memegang watak pelakon pembantu menerusi telefilem Tiga Budak Botak – Dua Hari Di Hari Raya.
“Nak kata merajuk tu tidaklah sampai begitu sekali, tapi saya ambil keputusan pulang ke kampung sebab tak ada tawaran berlakon, tak ada job! Selepas menang Raja Lawak memang ada tawaran, tapi selepas tu lama saya tak ada job. Saya pun fikir-fikir, nak duduk di Kuala Lumpur ni, kos sara hidup tinggi, lebih baik saya balik kampung, bukannya merajuk…
“Memang saya rasa terkilan sebab tak ada job, sedih… Tawaran tu bukannya tak banyak, tapi memang tak ada langsung! Persembahan Gempaq Selebriti Astro, ada juga saya diundang tiga, empat kali, tapi selepas itu dah tak ada lagi. Ada kalanya saya terkejut juga sebab tak ada job langsung. Orang kata saya kekurangan dari segi fizikal, sebab tu tak ada tawaran, tapi saya tak tahu nak cakap macam mana, bagi saya apa yang berlaku ni, rezeki tak memihak kepada saya.
“Saya pun ada peminat tersendiri, mungkin pada ketika itu memang betul saya tak ada rezeki. Mungkin juga orang tak panggil saya berlakon sebab tak ada karakter sesuai dengan diri saya. Dah tak ada apa-apa yang boleh saya buat di Kuala Lumpur, saya baliklah ke Perlis. Saya buat kerja lama sayalah, mengajar tarian atau main teater,” katanya.
Yus juga menjelaskan, dia menetap semula di kampung agak lama iaitu kira-kira dua tahun selepas tak ada langsung peluang diberikan kepadanya.
“Justeru, saya nak perbetulkan tanggapan orang, selama dua tahun saya balik ke Perlis, bukannya merajuk kepada industri seni, sebaliknya saya tak diberikan peluang langsung. Saya tak mampu tinggal di Kuala Lumpur. Saya pun bukan orang senang, saya pun dah tak ada keluarga, mak ayah dah tak ada.
“Dulu kalau sesak-sesak boleh jugalah minta duit daripada mereka. Kalau di Perlis, kos sara hidupnya rendah, setakat RM2 dah boleh makan. Kalau tak cukup makan, rumah jiran-jiran di kampung, bolehlah saya tumpang makan, tapi kalau di Kuala Lumpur, mana ada orang nak bagi saya makan…
“Kadang-kadang kalau di kampung, ada show, bayar sekadar RM300 pun saya ambil, tak ada masalah. Bagi saya, RM300 pun dah besar sangat. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan nasib, atau rasa diri ini anak tiri, sebaliknya saya lebih percaya kepada rezeki, memang rezeki tidak memihak kepada diri saya. Rezeki itu memang ada, tapi pada ketika itu, Tuhan menurunkan rezeki kepada orang lain,” katanya.
Yus akui, rakan seperjuangannya seperti Zizan dan Johan, lebih menonjol berbanding dirinya ketika ini tetapi beliau tidak kisah atau berasa cemburu sebab percaya rezeki itu hak masing-masing.
“Lagipun Zizan dan Johan menyerlah dalam bidang pengacaraan, manakala saya lebih terarah ke bidang lakonan. Bagi saya rezeki masing-masing, perjalanan seni ini masih jauh, ada kalanya kita berada di atas, ada ketikanya pula kita di bawah,” katanya.
Merempat selepas bergelar juara Raja Lawak
“SEBELUM ini memang saya tak berniat nak jual TD2000 itu, sebab ia satu kenangan, hadiah juara Raja Lawak saya dulu, lagipun peminat yang SMS sehingga saya berpeluang memiliki kereta itu. Kadang-kadang kalau ada show, saya bawa TD2000 tu. Namun, selepas saya menjalani penggambaran drama Hanya Tuhan Yang Tahu di Sabak Bernam, Selangor, ketika dalam perjalanan pulang, ada sesuatu berlaku pada diri saya.
“Angin tak mahu keluar daripada badan. Selepas menjalani pemeriksaan di hospital, akhirnya saya dimaklumkan, saya ada masalah jantung. Saya ditahan di wad dan selepas pemeriksaan lanjut, tahap kolesterol saya terlalu tinggi! Saya terbayang, fikiran berpusing ligat seperti kipas yang saya pandang berpusing laju.
“Baru saya teringat, saya ni tak ada tanah, tak ada rumah, duit pun tak ada. Nak shooting di Kuala Lumpur, saya kena naik bas dari Perlis. Akhirnya saya ambil keputusan menjual TD2000 itu kepada seorang Cina di Ipoh, Perak. Dia bagi saya sebuah kereta Waja dan sejumlah wang tunai. Dapatlah saya meneruskan kehidupan. Sekarang, Alhamdulillah, saya semakin stabil mengurus kerjaya.
“Bukannya saya tidak menghormati perasaan peminat sehingga tekad menjual kereta berkenaan, sebaliknya saya benar-benar kesempitan wang. Tak ada tempat nak bergantung. Saya hidup merempat, lebih-lebih lagi apabila saya kehilangan orang tua. Saya akui, dulu memang abang-abang saya tak ambil tahu perihal diri saya, tapi sekarang ni Alhamdulillah, ikatan silaturahim itu sudah kembali jernih.
“Dulu memang saya terkilan, abang-abang saya tidak mempedulikan diri saya. Memang saya sedih, sebaik kehilangan orang tua, saya pernah berpuasa dan berhari Raya seorang diri selama beberapa tahun. Saya menangis seorang diri apabila saudara kandung sendiri tidak ambil pusing mengenai diri saya. Tapi, berkat kesabaran, hubungan yang dingin itu, dapat dipulihkan semula.
“Sekarang saya lihat rezeki pemenang Raja Lawak musim terbaru seperti Wan, Achoe dan Idlan lebih terbuka luas. Sebaik saja mereka dinobatkan sebagai juara dan naib juara, terus mereka dapat tawaran berlakon, itu rezeki mereka. Pada masa sama, saya dipanggil untuk membintangi drama bersiri dan telefilem Tiga Budak Botak sebagai pelakon pembantu, jadi itu rezeki saya,” kata Yus.
Yus (Jambu) Meninggal Dunia Akibat Sesak Nafas
PETALING JAYA: Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi Isnin.
Pelawak Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, memberitahu berita tersebut menerusi laman sosial Facebooknya.
“Minta kawan-kawan sedekahkan Al Fatihah kepada arwah,” tulisnya.
Sementara itu, Afdlin yang dihubungi memberitahu berita tersebut disampaikan oleh salah seorang rakannya iaitu pelakon Angeline Tan.
“Saya tidak tahu terperinci tentang itu, namun berita itu disampaikan oleh salah seorang rakan iaitu pelakon Angeline Tan.
“Katanya, mereka baru pulang dari Konsert Raja Band di Dataran Merdeka dan dalam perjalanan pulang arwah sesak nafas. Jenazahnya masih berada di Hospital Selayang,” ujarnya kepada mStar Online.
Allahyarham dilahirkan pada 15 Mac 1976 dan dibesarkan di Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.
Kerjaya seni beliau bermula bila menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 2001 anjuran sebuah televisyen tempatan.
Pada tahun 2007 Yus mencuba nasib di program Raja Lawak terbitan Astro yang pertama kali diadakan dan berjaya menjadi Juara program tersebut pada 11 Mac 2007.
Menerusi pertandingan itu yang diundi peminat secara khidmat pesanan ringkas (SMS), Yus menerima hadiah berupa kereta antik iaitu TD 2000 dan wang tunai RM20,000.
Bagaimanapun tidak lama kemudian Yus menjual kereta kemenangan itu kepada seorang taukeh Cina di Ipoh kerana kesempitan wang akibat tiada tawaran selepas menjuarai pertandingan berkenaan.
Yus juga dalam sebuah artikel turut memberitahu dia terkejut apabila dalam satu pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung selain tahap kolestrol dalam badan terlalu tinggi.
Pada tahun 2011 pula, Allahyarham bergandingan dengan Tauke dan menyertai Maharaja Lawak 2011 dengan membentuk kumpulan Jambu dan mendapat tempat ke-4 keseluruhan program tersebut.
NAMA SEBENAR: Yussry Edoo
NAMA PANGGILAN: Pak Yus
TARIKH LAHIR: 15 Mac 1976
ASAL: Kampung Nesam, Batu Pahat, Perlis
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
PENCAPAIAN: Juara Raja Lawak Astro musim pertama (2007)
FILEM: Seram (belum tayang)
DRAMA: Amit, Gerabak, Nurul Iman, Hanya Tuhan Yang Tahu, Caca Marba, Gitu-Gitu Apek, Tiga Budak Botak dan Tiga Budak Botak – Dua Hari Di Hari Raya
TEATER: Sri Mersing